25 May
CONTOH KARANGAN

Bahasa kebangsaan merupakan wahana perpaduan yang penting ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang harmonis. Bincangkan cara-cara untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.


Isi 1: Kempen "Cintai Bahasa Kita"

isi 2: Aktiviti Kebangsaan

Isi 3: Penerbitan Bahan Bacaan


Isu: bahasa kebangsaan merupakan wahana perpaduan yang penting ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang harmonis

Tugasan: cara-cara untuk memartabatkan bahasa kebangsaan

Tema: bahasa kebangsaan

Kata kunci: cara-cara


Cara-cara untuk memartabatkan bahasa kebangsaan


          Ungkapan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ begitu signifikan untuk menggambarkan peri pentingnya bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat di negara kita masa kini. Tambahan pula, bahasa kebangsaan merupakan wahana perpaduan yang penting ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang harmonis. Persoalannya apakah cara-cara untuk memartabatkan bahasa kebangsaan?

          Pada hemat saya, cara yang paling efektif ialah mengadakan Kempen “Cintai Bahasa Kita”. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen yang diadakan oleh pihak kerajaan dan swasta dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai lambang jati diri rakyat Malaysia selaras dengan citra ”Bahasa Jiwa Bangsa”. Contohnya, kempen yang diadakan seperti Kempen Penggunaan Bahasa Baku, Kempen Pengucapan Bertatasusila, Kempen Memartabatkan Bahasa Kebangsaan Dalam Iklan dan sebagainya yang menjurus kepada penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. Tegasnya, kempen “Cintai Bahasa Kita” merupakan strategi untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita.

          Selain itu, menganjurkan aktiviti kebahasaan juga merupakan langkah untuk memartabatkan bahasa kebangsaan. Saya berpendapat demikian kerana aktiviti kebahasaan yang dianjurkan oleh pihak sekolah dapat menarik minat para pelajar untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang betul secara lisan atau penulisan. Misalnya, aktiviti kebahasaan yang dianjurkan seperti Pertandingan Debat, Pesta Pantun, Pementasan Teater, Deklamasi Puisi dan sebagainya mampu memperkasakan aspek keterampilan berbahasa dalam kalangan pelajar. Memang tidak dapat dinafikan, langkah memartabatkan bahasa kebangsaan menjadi lebih berkesan dengan menganjurkan aktiviti kebahasaan di sekolah-sekolah.

          Usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan yang berikutnya ialah penerbitan bahan bacaan. Hal ini bermaksud, bahan bacaan yang diterbitkan oleh pihak swasta mahupun kerajaan dapat mempelbagaikan sumber bacaan masyarakat dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai wahana untuk menyampaikan maklumat dan hiburan. Tamsilannya, bahan bacaan yang diterbitkan seperti majalah, surat khabar, bahan pandang dengar dan sebagainya berupaya menarik minat masyarakat untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan harian mereka. Saya optimis, penerbitan bahan bacaan yang menggunakan bahasa kebangsaan di pasaran merupakan usaha murni untuk memartabatkan bahasa ini di negara kita.

          Kesimpulannya, semua pihak mestilah berusaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan supaya bahasa ini dapat diperkasakan di negara kita. Penggemblengan tenaga dan usaha untuk menjayakannya amatlah ditagih kerana orang bijak pandai pernah berpesan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Dalam pada itu, usaha yang sistematik dan proaktif mestilah digerakkan mulai dari sekarang kerana perjalanan yang beribu batu, mestilah bermula dengan langkah yang pertama.


TPAK ialah kandungan teknologi, pedagogi dan pengetahuan

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING