27 Apr
TEKNIK MENGHURAIKAN ISI

TEKNIK IMBaKUP

I = Isi (apa) - (1 ayat)

M = Mengapa - (3 - 4 ayat)

Ba = Bagaimana (contoh) - (2 - 3 ayat)

K = Kesan (contoh yang menyokong isi)  - (2 - 3 ayat)

P = Penegas (1 ayat)


CONTOH TEKNIK IMBaKUP


Tajuk: Peranan ibu bapa untuk menangani gejala sosial


Isi:

  • memberikan didikan agama


Mengapa:

  • menjadi benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi
  • panduan hidup yang berkesan daripada terjerumus ke lembah kehinaan
  • dapat membezakan permata dengan batu kelikir


Bagaimana:  

  • mendidik sejak kecil lagi amal makruf nahi mungkar - melentur buluh biar dari rebungnya
  • memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat - solat itu tiang agama - mampu mencegah kemungkaran


Kesan:

  • takut balasan Tuhan - tidak terlibat dalam gejala sosial
  • dapat melahirkan modal insan yang beriman dan berakhlak mulia


Ungkapan Menarik:

  • Albert Eistein, “Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh.”


Penegas:

  • Didikan agama yang mantap merupakan elemen/wahana/wadah yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meruncing.


Contoh perenggan isi yang lengkap:

Peranan ibu bapa yang signifikan untuk menangani gejala sosial pada hari ini ialah ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang teguh kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, agama merupakan benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Dengan adanya didikan agama juga anak-anak dapat membezakan permata dengan batu kelikir kerana mereka telah menjadikan agama sebagai panduan hidup yang paling afdal daripada terjerumus ke lembah kehinaan seperti vandalisme, gengsterisme, merempit, ponteng sekolah dan sebagainya. Tanpa agama, kehidupan seseorang itu akan menjadi terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda. Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, mereka akan sentiasa melakukan amal makruf nahi mungkar. Bukan itu sahaja, ibu bapa bapa haruslah memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat kerana solat itu tiang agama yang mampu mencegah kemungkaran. Sebagai kesan, anak-anak yang memiliki didikan agama yang mantap akan berasa takut akan balasan Tuhan lalu tidak terlibat dalam gejala sosial yang akan merosakkan masa depan mereka. Secara implisitnya, usaha kerajaan untuk modal insan yang beriman dan berakhlak mulia dapat dilahirkan serta gejala sosial dapat ditangani. Benarlah kata Albert Eistein, “Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh.” Izharlah bahawa didikan agama yang mantap merupakan antara wahana yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meruncing.


PENANDA WACANA ISI DAN PERKEMBANGANNYA


1. Isi pertama:

  • Salah satu langkah yang signifikan ialah ...
  • Salah satu punca yang memangkin kepada masalah ini ialah…


 2. Isi yang seterusnya

  • Selain itu,
  • Jika kita lihat/tinjau/kaji dari sudut/dimensi/perspektif yang berbeza, …
  • Seperkara lagi,
  • Pada masa yang sama,
  • Meninjau dari skop yang lebih luas,
  • Dari kaca mata yang lain,
  • Di samping itu,
  • Sementara itu,
  • Lebih-lebih lagi,
  • Seperkara lagi,


3. Penanda wacana MENGAPA:

  • Hal ini dikatakan/berlaku demikian kerana
  • Hal ini berlaku/terjadi kerana
  • Hal ini disebabkan oleh
  • Hal ini wujud akibat daripada
  • Hal ini bersangkut-paut dengan
  • Hal ini berpunca daripada
  • Hal ini tercetus apabila
  • Hal ini timbul apabila
  • Dalam konteks/hal ini

*** ‘Hal’ boleh ditukarkan kepada scenario/situasi/kemelut/masalah/fenomena


4. Penanda wacana CONTOH:

  • Tamsilnya,
  • Buktinya,
  • Hal ini dapat kita lihat
  • Misalannya,
  • Contohnya/Sebagai contoh,
  • Misalnya,
  • Biar kita lihat/Biar kita ambil contoh
  • Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
  • Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah


5. Penanda wacana KESAN CONTOH:

  • Sehubungan dengan itu,
  • Ekoran daripada peristiwa/isu itu,
  • Rentetan daripada hal itu,
  • Lanjutan daripada…
  • Implikasinya/impaknya,
  • Kesannya,
  • Natijahnya, (kesan negatif sahaja)


5. Penanda memulakan atau memasukkan PERIBAHASA:

  • bak/persis kata peribahasa,
  • bak/persis kata peribahasa Melayu,
  • bak/persis kata orang tua-tua,
  • bak/persis kata mutiara,
  • bak/persis kata peribahasa,
  • bak/persis kata cendekiawan,
  • Hal ini sama dengan peribahasa…
  • Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, iaitu
  • Fenomena ini dikatakan…
  • Masalah ini sama dengan peribahasa…


7. Penanda wacana PENEGAS:

  • Ringkasnya
  • Tegasnya,
  • Izharlah bahawa
  • Sesungguhnya,
  • Pendek kata,
  • Jadi,
  • Oleh itu,


PERENGGAN ISI

  1. Selepas pendahuluan, pelajar perlu menulis perenggan isi pula.
  2. Biasanya, isi yang pertama terletak pada perenggan yang kedua, isi yang kedua terletak pada perenggan ketiga, dan seterusnya.
  3. Dari segi isi, pelajar dikehendaki menulis satu isi untuk satu perenggan. Walau bagaimanapun, pelajar boleh mengemukakan isi-isi sampingan untuk memperkuat hujah atau huraian.
  4. Secara keseluruhan, perenggan isi hendaklah sekurang-kurangnya mengandung empat ayat hingga enam ayat dalam setiap perenggan seperti yang dinyatakan di bawah ini:

a. ayat judul

b. ayat huraian

c. ayat bukti/contoh

d. ayat penegas


AYAT JUDUL

  1. Ayat yang mengandung kata kunci jawaban yang menjawab pokok persoalan karangan.
  2. Ayat judul ini boleh diletakkan di bahagian awal, di tengah, atau di hujung sesuatu perenggan.


AYAT HURAIAN

  1. Ayat huraian pula huraian lanjut tentang isi utama yang dikemukan yang bertujuan untuk memberikan penjelasan tentang perkara yang diperkatakan atau menyokong isi-isi utama.
  2. Karangan yang baik akan mengemukakan beberapa ayat huraian.


AYAT BUKTI/AYAT CONTOH

  1. Ayat bukti atau ayat contoh pula ialah ayat-ayat yang mengandung bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi yang diperkatakan yang bertujuan untuk memperkuat hujah.
  2. Bukti dan contoh yang dikemukakan mestilah bukti yang sahih dan bukan bukti atau contoh yang sengaja diada-adakan.


AYAT PENEGAS

  1. Ayat penegas ialah ayat yang memberikan penegasan terhadap isi dan huraian.
  2. Ayat ini biasanya mempunyai penanda wacana seperti “Tegasnya”, “Oleh itu”, dan “Sehubungan dengan itu”.


CONTOH PENULISAN ISI

Ayat Judul

Satu daripada langkah yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah mengenakan denda yang lebih berat terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang cuai dan tidak bertimbang rasa.


Ayat Huraian

Denda yang dikenakan ini sekurang-kurangnya akan menakutkan mereka atau memberikan kesedaran kepada pengguna-pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan bersopan di jalan raya.


Ayat Contoh

Sebagai contohnya, cadangan untuk menaikkan denda maksimum daripada RM300 kepada RM600 bagi sebarang kesalahan di jalan raya serta cadangan untuk mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan memandu ketika mabuk dan mengadakan perlumbaan haram di jalan raya hendaklah disokong oleh semua pihak.


Ayat Penegas

Tegasnya, denda yang berat akan memberikan kesedaran kepapa pengguna supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING